Saturday, November 5, 2011

Falsafah Perkahwinan Menurut Islam



Di dalam al-Quran dijelaskan bahawa tujuan pernikahan adalah untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

"Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup agar kamu mendapatkan ketenangan/kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah." (Surah al-Rum, ayat 21)


Alam ini terasa indah kerana Allah menciptakannya berpasang-pasangan. Ada siang, ada pula malam. Ada tempat yang subur, ada pula yang tandus. Ada gunung-ganang yang tinggi tapi ada juga lembah dan lurah yang dalam. Ada lelaki dan ada pula perempuan.

Allah menciptakan pasangan untuk manusia agar mereka dapat hidup seiring sejalan, berbahagi suka dan duka serta tetap bersama dalam melayari kehidupan yang penuh dengan onak, duri, dugaan, tentangan dan cabaran demi mencapai satu matlamat mendapatkan keluarga sakinah mardatillah.


Selain ketenangan di dalam pernikahan, Allah juga menciptakan mawaddah dan rahmah di hati suami dan isteri. Sebahagian ahli tafsir membezakan makna mawaddah dan rahmah ini. Bagi mereka, mawaddah adalah rasa cinta berdasarkan syahwat kemanusiaan, iaitu keinginan untuk melakukan hubungan suami isteri yang akan melahirkan dan mengembangkan keturunan manusia.


Mawaddah atau keinginan untuk melakukan hubungan suami isteri ini ada hadnya seiring dengan umur manusia itu sendiri. Apabila seorang lelaki telah berumur 60-70 tahun dan perempuan berumur 50 tahun, mawaddah ini akan berkurangan. Maka, pada saat inilah Allah akan menimbulkan rahmah atau kasih sayang yang suci murni di hati pasangan berkenaan.


Menurut Prof Dr Hamka, rahmah lebih tinggi kedudukannya daripada mawaddah sebab ia kasih mesra di antara suami isteri yang bukan lagi berasaskan keinginan syahwat, sebaliknya rasa kasih sayang murni yang tumbuh dari jiwa yang paling dalam sehingga suami isteri merasakan kebahagiaan yang tidak bertepi dan ketenangan yang tidak berbatas.


Pada masa ini mereka bukan lagi berfikir mengenai tongkat ali, Viagra dan ubat-ubat lain bagi mengembalikan kekuatan tenaga batin tetapi yang mereka inginkan adalah mengisi hari-hari akhir ini dengan beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah sedekat-dekatnya secara bersama-sama.

Mereka juga berusaha memberikan contoh yang baik, teladan dan nasihat kepada anak cucu supaya mereka tidak salah dalam memilih jalan hidup di dunia yang penuh dugaan ini. Inilah hakikat rahmah itu.


Melihat kes yang terjadi di negara kita, di mana dilaporkan sudah banyak terjadi pasangan tua yang berpisah kerana ingin bernikah dengan yang lebih muda, maka dapat dikatakan bahawa terjadi krisis rahmah dalam perkahwinan hinggakan hubungan seks menjadi matlamat.

Pada saat ini, seakan-akan Allah hanya memberikan kepada kita mawaddah tetapi mencabut nikmat rahmah. Akibatnya, kes-kes seperti di atas semakin menjadi-jadi dan kebahagiaan rumah tangga semakin jauh.


Allah akan menurunkan rahmah di dalam satu keluarga apabila keluarga berkenaan dibina atas niat mencari keredaan Allah. Oleh sebab itu, di dalam proses membina satu rumah tangga, Rasulullah memberikan bimbingan kepada umat Islam agar memilih pasangan kerana empat prinsip, iaitu kecantikan, keturunan, kekayaan dan agamanya. Akan tetapi Rasulullah memberatkan agar agama menjadi keutamaan.

Ada kalanya orang memilih pasangan kerana kecantikan dan kekayaan sehingga mereka lupa bahawa kecantikan dan harta bersifat sementara. Begitu juga dengan keturunan dan nasab tidak selamanya menjamin kebahagiaan.


Oleh sebab itulah, Rasulullah menyuruh memilih pasangan kerana agama sebab kekurangan dalam rupa, harta dan nasab atau keturunan akan disempurnakan oleh agama.

Wanita yang beragama akan timbul di wajahnya kecantikan yang lahir dari jiwanya dan menyinari segenap tubuhnya, bukan kecantikan palsu yang diselaputi solekan.

Wanita yang beragama juga akan melahirkan sifat qana'ah, iaitu berasa cukup dengan yang mereka miliki dan tidak terlalu memaksa diri untuk mencapai sesuatu. Sifat inilah yang dikatakan oleh ahli tasawuf dengan kekayaan yang sebenarnya.

Agama pula membezakan seorang manusia dengan manusia yang lain, bukan kerana keturunan dan kedudukan seperti firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling takwa."

Oleh itu, keluarga yang dibina atas dasar agama ini akan memiliki matlamat yang jelas.


Bagi mereka, hidup di dunia ini hanyalah satu jalan menuju kehidupan akhirat yang abadi sehingga apa pun yang mereka lakukan dalam keluarga itu tidak keluar daripada tujuan asal untuk mencipta keluarga sakinah yang diredai Allah dan berjuang untuk menegakkan agama Allah dalam semua aspek kehidupan mereka.


Dalam keluarga Islam, hubungan yang dihalalkan melalui pernikahan itu bukan sekadar memenuhi hawa nafsu semata-mata tetapi ia satu ibadah yang bertujuan melahirkan generasi atau zuriat yang soleh.

Keluarga yang soleh ini akan melahirkan masyarakat yang soleh dan akan menjadi asas bagi negara yang soleh, bertamaddun dan berwawasan. Konsep pernikahan seperti inilah yang membezakan manusia dengan haiwan.

Salah satu cara terbaik ialah dengan menanamkan kesedaran kepada masyarakat mengenai hakikat atau falsafah pernikahan dalam Islam sebagai alat mencipta keluarga sakinah, bukan sekadar memenuhi keperluan syahwat semata-mata.

Pengisian nilai-nilai agama sangat diperlukan dalam sebuah keluarga agar memiliki matlamat yang jelas dalam mengisi sebuah perkahwinan.


Nota Hati:

Ingin berkongsi sedikit ilmu yang dijumpai dalam satu group di Facebook. Semoga bermanfaat untuk semua.. InsyaAllah..

Sunday, May 8, 2011

Wahai Sahabat, Janganlah Bersedih[La Tahzan]


Kepada semua sahabat-sahabat yang sedang diuji, yang telah diuji & yang belum diuji.. sedarilah bahawa jika anda tidak hidup hanya dalam batasan hari ini saja, maka akan celaru fikiran Anda, akan kacau semua urusan, dan akan semakin menggunung kesedihan dan kegundahan diri Anda.

01.Jangan Bersedih... Cinta Allah dan Rasulullah menjamin kebahagiaan.

02.Jangan Bersedih... Redha Dengan anugerah Allah membuat anda kaya di dunia.

03.Jangan Bersedih... Allah Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat serta Rahmatnya yang Maha Luas.

04.Jangan Bersedih... Semata-mata disebabkan anda berbeza dengan orang lain kerana setiap kejadian Allah itu ada kelebihan tersendiri.

05.Jangan Bersedih... Bila disakiti, dicela, direndahkan atau dizalimi kerana setiap perkara yang berlaku adalah dugaan dari Yang Maha Esa.

06.Jangan Bersedih... Sesungguhnya setelah kesusahan akan ada kemudahan.

07.Jangan Bersedih... Kerana kesedihan anda akan membuat musuh anda gembira.

08.Jangan Bersedih... Atas perilaku manusia terhadapmu tetapi perhatikanlah perilaku mereka terhadap Allah.

09.Jangan Bersedih... Allah tidak akan mensia-siakan pengorbananmu dan setiap perkara yang baik mahupun buruk ada hikmahnya.

Wahai sahabat-sahabat, janganlah bersedih, dunia ini terlalu hina untuk ditangisi.

- Artikel iluvislam.com


nota hati:
Ya Allah, berilah hambaMu ini kekuatan menghadapi segala ujian hidup.. moga aku sentiasa istiqamah di jalanMu.. La Tahzan ya ukhti.. Allah ma'ana..

Wednesday, May 4, 2011

Penyakit Examinitis Menyerang Lagi!



Kecut perut? Hilang selera makan? Tidur tidak lena? Hilang fokus?

Ini merupakan simptom-simptom serangan examinitis yang selalunya menyerang kawasan kota dan bandar-bandar besar di seluruh dunia.

Penyakit ini tidaklah begitu kronik jika mahu diukur dengan skala kemanusian seperti mana yang dihadapi oleh sebahagian manusia di Palestin, Darfur, Iraq, Filipina, Selatan Thailand dan banyak lagi.

Apatah lagi jika mahu dinilai dengan neraca Ilahi yang mana sesiapa yang mengidapnya akan dirawat di bahagian pesakit luar. Namun setiap yang kecil jika tidak disikapi dan dihadapi dengan cara yang sepatutnya boleh mendatangkan kesan yang amat memudaratkan.

Begitu juga dengan penyakit examinitis ini.

Malahan keaadaan pesakit akan bertambah buruk sekiranya tidak menyedari akan terdapatnya penyakit ini pada dirinya sepertimana keadaan manusia pada hari ini yang kebanyakkannya tidak menyedari akan kesakitan yang mereka hadapi yang menyebabkan mereka terus menerus berada di dalam kesengsaraan. Maka di sini disertakan maklumat lanjut tentang examinitis dan cara menghadapinya.

Nama saintifik :

Examinitis

Golongan sasar yang mudah dijangkiti :

Semua golongan yang berada di institusi-institusi pendidikan terutamanya golongan muda yang berumur 17-26 tahun

Most vulnerable :

1. Pelajar tajaan yang mempunyai perjanjian dengan penaja

2. Ciri-ciri lain yang tidak dapat disenaraikan

Tanda-tanda awal :

1. Sudah tidak PD (baca PeDe atau mudahnya percaya diri)

o Tidak mendapat keputusan yang diharapkan

o Mencuba tetapi masih merasa hampa

o Gagal mengesani punca yang membawa kepada hilang percaya diri

o Tertekan dengan expectation masyarakat (baca bisikan halus dari dalam diri yang mendatangkan gambaran-gambaran negatif)

2. Dan lain-lain lagi yang sukar untuk diperkatakan namun mudah untuk digambarkan

Bagi sesiapa yang mengidapnya, di sini disertakan beberapa kaedah rawatan tradisional yang tidak luput ditelan zaman semenjak ratusan tahun yang lampau.

1. Ambil wudhu dan mulakan analisa diri secara telus dan tulus

o Berikut disertakan sebahagian checklist analisa;

• Keikhlasan niat dan perbuatan

• Usaha yang tersusun dan berterusan

• Kefahaman akan konsep usaha dan tawakal

• Kefahaman terhadap keperluan dan pergantungan kepada Allah

2. Memahami bacaan dalam solat dan zikir al-mathurat sebagai contohnya ayat 286 surah Al-Baqarah :

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa Dengan berkata):

"Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir."


p/s: selamat menduduki imtihan buat sahabat-sahabat Universiti Al-Albayt.. moga semua najah, insyaAllah.. bittaufiq wannajah..

Ya Allah, aku redha dengan segala ketentuanMu.. (berdebar menunggu keputusan markaz lughah esok hari)

Friday, April 29, 2011

Bukan Senang Menjadi Pemimpin

Kalau kita lihat sejarah para rasul, walaupun rasul-rasul itu punya kekuatan, hanya tiga orang rasul saja yang memerintah. Mereka ialah Nabi Sulaiman, Nabi Daud dan Rasulullah s.a.w. Rasul-rasul yang lain tidak memerintah. Mereka cuma memimpin tapi tidak memerintah.

Peliknya, mengapa kita berjuang, ghairah sangat hendak memerintah? Padahal para nabi yang mana nabi itu orangnya luar biasa, bukan saja memerintah, kalau dia tidak memimpin orang pun tidak menjadi satu kesalahan. Cukup dia menjaga dirinya sahaja.

Maksudnya, hendak pimpin orang bukan senang. Mesti ada satu keistimewaan khususiah yang Allah bagi pada orang itu.

Di sini kita hendak bawakan suatu cerita. Cerita ini semua orang tahu, iaitu cerita Nabi Khidir dan Nabi Musa a.s. Tapi hikmahnya banyak orang tidak tahu.

Cerita ini sama ada diceritakan dalam kitab mahupun disampaikan oleh tok-tok guru, hanya dikatakan Allah hendak beritahu pada Nabi Musa bahawa ada orang yang lebih alim daripada baginda.

Tetapi di sini yang hendak diceritakan adalah satu tafsiran baru yang lebih penting lagi daripada tafsiran yang di atas. Allah temukan Nabi Musa a.s. dan Nabi Khidir a.s., tetapi Allah tukar peranan masing-masing.

Seolah-olah Allah berkata, "Hai Musa! Engkau pemimpin, sekarang Aku tukar kedudukan engkau jadi pengikut." Tiga hari saja. Nak tengok, berjaya tak jadi pengikut.

Seolah-olah Allah bercakap pada Nabi Khidir, "Hai Khidir, kamu bukan pemimpin, tapi aku nak lantik engkau jadi pemimpin tiga hari saja." Berjaya tak?

Jadi bila ditemukan Nabi Musa dan Nabi Khidir, Nabi Musa pun ikutlah Nabi Khidir. Nabi Khidir yang kini jadi pemimpin berkata, "Kalau nak aku, jangan banyak cakap, ikut saja. Kalau banyak tanya nanti berpisahlah kita."

Jadi, mereka pun mula berjalan lalu berlakulah episod pertama. Terjadilah hal yang pelik. Nabi Khidir memecahkan perahu.

Nabi Musa tidak tahan, baginda tidak boleh terima dan bertanya, sedangkan baginda sudah berjanji tidak akan bertanya. Nabi Khidir pun mengingatkan, "Bukankah aku cakap jangan tanya, nanti berpisah kita."

Nabi Musa meminta maaf dan Nabi Khidir pun memberi peluang lagi kepada Nabi Musa mengikutinya.

Berjalan lagi, jumpa peristiwa pelik kedua. Nabi Khidir membunuh seorang budak. Nampak macam melanggar syariat. Nabi Musa tidak tahan, baginda bertanya lagi mempersoalkan pemimpinnya. Sekali lagi baginda diingatkan oleh Nabi Khidir akan janjinya.

Kali ketiga berlaku lagi. Nabi Khidir pun memutuskan untuk berpisah.

Apa yang kita faham, bila bertukar peranan, kedua-duanya gagal. Pemimpin gagal, pengikut pun gagal. Pengikut tidak sanggup taat. Yang pemimpin pula, kerana dia hanya seorang nabi, Allah tidak kuatkan dia seperti rasul.

Pemimpin sepatutnya bersabar dalam mendidik anak buah. Itulah keistimewaannya. Sebab itulah rasul-rasul yang dapat 'ulul azmi' adalah mereka yang paling sabar.

Jadi apa yang kita faham, seorang itu walaupun bukan rasul, tapi dia adalah mujaddid yang ditunjuk oleh Allah, maka Allah akan bekalkan kesabaran yang luar biasa kepadanya. Orang lain tidak boleh buat dan tidak akan tahan.

Begitu juga hendak jadi pengikut pada seorang pemimpin yang sebenar, bukan senang hendak taat. Nampak lain sedikit, sudah mula hendak persoalkan. Ada perkara yang pelik sedikit, dia rasa itu tidak betul. Seolah-olah dia lebih pandai dari pemimpin.

Antara pemimpin dengan pengikut, Allah bagi jarak ilmu yang terlalu jauh. Jadi pengikut juga perlu sabar untuk taat. Cuba tengok Nabi Khidir. Atas dasar ilmu baginda layak jadi pemimpin, tapi atas dasar ketabahan hati baginda tidak layak.

Sebab itu, Nabi Adam waktu dia bertaubat sujud 40 tahun sampai pokok tumbuh besar dikelilingnya, pun tidak dapat gelaran 'Ulul Azmi'. Mengapa? Baginda sujud itu bukan memimpin. Baginda dengan tuhan saja. Dengan tuhan baginda rasa lazat, tapi cuba pimpin manusia dengan bermacam-macam ragam, susah dalam berhadapan dengan musuh, berhadapan dengan kerenah anak buah.

Ini bukan sesuatu yang senang untuk dihadapi. Nabi Musa sampai tersesat di padang pasir 40 tahun lamanya kerana memimpin Bani Israil, barulah baginda mendapat darjat 'Ulul Azmi'.

Jadi setiap orang kenalah redha dengan kedudukan masing-masing. Mungkin keupayaan yang dikurniakan oleh Allah itulah merupakan saluran untuk kita berbuat kebaktian.

Oleh itu, janganlah kecil hati dan bersyukurlah Allah tidak pilih kita jadi pemimpin kerana ditakuti tidak layak. Bila tidak layak, ia boleh menjadi punca kerosakan yang banyak kepada manusia.

- Artikel iluvislam.com


nota hati:

bila sekarang musim pilihanraya.. jadi, pilihlah pemimpin yang betul-betul mampu untuk memimpin dan lain-lain...